Tahun lalu, ZTE tidak melancarkan fon flagship mereka. Sebaliknya hanya melancarkan fon kelas pertengahan-premium, iaitu ZTE Axon 20 5G. Fon ini dikuasakan dengan cip pemproses kelas pertengahan yang menyokong rangkaian 5G, iaitu Snapdragon 765G.
Meskipun ZTE Axon 20 5G bukanlah sebuah fon flagship, sebaliknya hanya fon kelas pertengahan, fon ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Axon 20 5G adalah fon pertama di dunia yang dimuatkan dengan kamera swafoto di dalam skrin. Kamera di dalam skrin ini beresolusi 32MP. Ramai yang tidak menyangka ZTE adalah jenama pertama yang akan menggunakan teknologi ini. Disebabkan teknologi ini sudahpun dibangunkan, maka teknologi ini akan digunakan dengan lebih meluas selepas ini.
ZTE juga telah mengesahkan mereka akan menggunakan kamera swafoto di dalam skrin fon mereka pada tahun ini. Tetapi, fon tersebut bukanlah fon kelas pertengahan seperti Axon 20 5G, sebaliknya sebuah fon flagship yang akan dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon 888. Fon flagship yang bakal dilancarkan oleh ZTE pada tahun ini adalah ZTE Axon 30 Pro 5G.
Axon 30 Pro 5G ini juga dikatakan bakal menggunakan kamera beresolusi 200MP keluaran Samsung. Khabar angin juga bertiup kencang mengatakan fon ini akan mengutamakan pada bahagian kamera, untuk menarik minat orang ramai untuk membeli fon ini. Apa pun, sensor 200MP keluaran Samsung itu masih belum dilancarkan, dan kita tidak seharusnya terpana dengan angka yang ditawarkan. Kerana kecantikan gambar tidak bergantung sepenuhnya pada resolusi kamera.