Tahun lalu, cip pemproses Snapdragon 865 diperkenal. Cip ini disepadukan dengan modem 5G, sama sekali menjadikan cip ini lebih mahal berbanding biasa. Maka, fon yang dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon 865, automatik menjadi mahal.
Ini adalah kerana teknologi 5G baru sahaja diperkenal, dan modem 5G ini bagaikan ‘tiada pilihan’ melainkan disepadukan bersama Snapdragon 865.
Terkini, Qualcomm telah melancarkan cip pemproses mampu milik pertama dengan kemampuan untuk menerima rangkaian 5G, iaitu Snapdragon 480. Cip pemproses ini adalah cip pemproses kelas permulaan, yang digunakan pada fon mampu milik kelas permulaan.
Selain daripada menyokong rangkaian 5G, Snapdragon 480 juga menyokong teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4+. Namun, bergantung juga kepada pengeluar telefon pintar yang menggunakan cip pemproses Snapdragon 480 ini, sama ada ingin menyertakan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4+ atau sebaliknya. Kerana penawaran Quick Charge 4+ sudah pasti akan meningkatkan kos buatan sesebuah telefon pintar.
Snapdragon 480 mula dipasarkan bermula suku pertama 2021. vivo Y31s adalah fon pertama yang akan dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon 480 ini. Manakala jenama-jenama lain seperti Redmi, Motorola, OPPO, dan lain-lain bakal menyusul dengan cip pemproses 5G mampu milik ini.