Redmi adalah sebuah jenama di bawah jenama induk Xiaomi. Antara fokus utama Redmi adalah menghasilkan produk kelas permulaan dan kelas pertengahan yang mampu milik. Sehingga kini, Redmi telah membanjiri pasaran dengan fon-fon mampu milik, yang mampu dibeli oleh rakyat marhaen dengan spesifikasi yang berpatutan.
Terbaru, setelah melancarkan beberapa siri fon harga patut, Redmi melancarkan satu lagi dalam siri Redmi 9, iaitu Redmi 9 Power.
Redmi 9 Power ini dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon 662, dan dijalankan dengan sistem operasi Android 10 dan MIUI 12. Dari segi RAM, Redmi 9 Power dimuatkan dengan RAM 4GB dan storan sebesar 64GB (UFS 2.1) dan 128GB (UFS 2.2).
Rekaannya juga kelihatan seperti Redmi 9 yang biasa, namun diberikan sedikit sentuhan moden, dengan kamera ditempatkan pada bahagian bucu kiri dengan ‘petak’ yang menempatkan kamera bagi mengikut aliran semasa. Manakala pengimbas cap jari ditempatkan pada bahagian sisi, bagi mengetengahkan rekaan yang lebih kemas dan minimalis.
Mungkin anda tertanya-tanya, mengapakah ada penjenamaan ‘Power’ pada fon kali ini. Redmi 9 Power ini dimuatkan dengan bateri sebesar 6000mAh, dan pengecas pantas 22.5W! Yang mana pengecas 22.5W ini menyamai sistem pengecasan pantas fon flagship Huawei Mate 9 yang dilancarkan pada tahun 2016. Fon ini juga mempunyai sambungan kabel USB-C, bukan sambungan micro USB.
Fon ini baru sahaja dilancarkan di China, dan masih menjadi teka-teki adakah fon ini bakal menembusi pasaran tempatan atau sebaliknya.