Samsung siri S mula dilancarkan pada 10 tahun lalu, yang dimulakan dengan Samsung Galaxy S, untuk bersaing dengan iPhone. Dengan keberadaan siri Galaxy S di pasaran, persaingan sihat di arena telefon pintar dapat dilihat, dan pengguna dapat membuat lebih banyak pilihan menjelang awal tahun. Kebiasannya setiap tahun, siri Galaxy S akan dilancarkan pada suku pertama setiap tahun. Menurut laman Android Authority, Samsung Galaxy S21 akan dilancarkan secara rasmi pada 14 Januari 2021.
Dari segi warna, Samsung juga telah mendedahkan warna-warna menarik buat model flagship ini. Bagi Galaxy S21, fon ini akan hadir dengan warna kelabu, merah jambu, dan putih. Bagi Galaxy S21+ pula, warna yang bakal hadir adalah merah jambu, ungu, perak, dan hitam. Satu lagi siri Galaxy S21 yang paling besar, iaitu Galaxy S21 Ultra hanya akan hadir dengan warna perak dan hitam sahaja. Namun, kebiasannya Samsung akan melancarkan warna-warna baru setelah beberapa bulan sesebuah fon flagship dilancarkan, bagi melonjakkan semula momentum jualan bagi model fon tersebut.
Menurut info yang tertiris, Samsung Galaxy S21 Ultra akan turut dilengkapi dengan kelebihan pen stylus S Pen seperti siri Samsung Galaxy Note. Namun, S Pen tersebut tidak mempunyai slot khas untuk S Pen seperti yang terdapat pada Galaxy Note. Sebaliknya, S Pen pada Galaxy S21 Ultra akan dimasukkan ke dalam kerangka khas buat Galaxy S21 Ultra. Dengan keberadaan S Pen ini, peminat pen stylus tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan fon dengan pen stylus seperti Galaxy Note 21.
Kebiasannya, Samsung Malaysia akan membuat pra-tempah untuk fon flagship terbaru mereka dengan penawaran hadiah menarik dalam tempoh terhad. Dan fon flagship terbaru Samsung ini kebiasannya akan menembusi pasaran tempatan dalam sebulan atau kurang sebulan selepas tarikh pelancaran rasmi fon tersebut.
Terdapat juga ura-ura bahawa Samsung tidak akan menyertakan palam pengecas di dalam kotak Galaxy S21, setelah perkara ini dilakukan oleh Apple. Sekiranya Samsung mengikut jejak langkah Apple, mereka telah menjilat ludah mereka sendiri apabila Samsung menyindir Apple di dalam hantaran di media sosial mereka berkaitan ketiadaan palam pengecas di dalam kotak iPhone 12.