Sejak pelancaran siri iPhone 12, Apple memutuskan untuk tidak lagi menyediakan palam pengecas dan juga EarPods. Maka, kotak iPhone 12 menjadi sangat nipis dan kecil. Apple mengambil keputusan ini dengan alasan untuk mengurangkan kadar pengeluaran karbon, di samping dapat menjimatkan ruang di dalam storan kargo penghantaran iPhone. Perkara ini turut melibatkan iPhone 11, iPhone XR, iPhone SE yang dikilangkan selepas pelancaran iPhone 12. Apple juga turut berharap jenama lain mengikut jejak langkah Apple untuk mengurangkan kadar pengeluaran karbon.
Namun, perkara ini berbeza dengan iPhone yang dipasarkan di Perancis. Mengikut undang-undang Perancis, setiap fon yang dipasarkan di negara tersebut wajib disertakan dengan earphone. Maka, untuk memasarkan iPhone di Perancis, Apple harus akur dengan undang-undang ini, meskipun mereka berhasrat ingin menjadi jenama pertama yang tidak menyertakan earphone dan palam pengecas dalam masa yang sama.
Maka, kesannya, Apple terpaksa menyediakan kotak khas untuk EarPods yang disertakan bersama-sama iPhone. Perkara ini sama sekali merencat hasrat Apple untuk mengurangkan pengeluaran karbon, sebaliknya terpaksa menghasilkan lebihan kotak khusus untuk EarPods di Perancis.
Apple adalah pelopor kepada tindakan seperti ini, dan mendapat sindiran dan troll dari pelbagai jenama termasuk Samsung dan juga Xiaomi. Namun, menurut beberapa laporan, Samsung dijangka akan turut mengikut jejak langkah Apple dengan tidak menyertakan palam pengecas bersama-sama dengan fon yang dibeli. Tindakan Apple ini mendapat kritikan ramai, apabila Apple menjadikan “mengurangkan pengeluaran karbon” sebagai alasan, dan menyarankan pengguna iPhone menggunakan EarPods lama dan palam pengecas yang hadir bersama iPhone generasi terdahulu. Walhal, iPhone 12 dibekalkan dengan kabel Lightning to USB-C, dan tidak boleh digunakan pada palam pengecas iPhone generasi terdahulu yang menggunakan palam pengecas USB-A.